07 July 2009

Latar belakang SKTU1

Sejarah Sekolah

Taman Universiti terletak kira-kira 25 km dari bandaraya Johor Bahru. Ia diberi nama sempena sebuah IPTA yang berhampiran dengan kawasan perumahan ini, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sekolah Kebangsaan Taman Universiti (1) pula diberi nama kerana sekolah yang pertama dibina dan yang terbesar antara empat buah sekolah di taman perumahan ini.
SK Taman Universiti 1 mula menjalankan operasinya mulai 1.12. 1994 mempunyai tiga blok bangunan tiga tingkat yang mengandungi 25 buah bilik darjah, bilik kemahiran hidup, bilik amalan perdagangan, bilik kokurikulum, pusat sumber, bilik tayang, bilik muzik, bilik rehat guru, bilik sains, surau, bilik kaunseling, bilik mesyuarat, pejabat dan bilik kesihatan serta sebuah kantin. Luas keseluruhan kawasan sekolah ini ialah 5.9 ekar. Oleh kerana pada masa itu bangunan ini belum siap, pengurusan dan pentadbiran SK Taman Universiti 1 menumpang di SK Taman Universiti 2, yang terletak kira-kira 2 km dari sekolah. Pada waktu itu kami mempunyai 959 orang murid dan 40 orang guru serta 3 orang kakitangan, menjalankan operasi pada sesi petang. Hanya pada 1.12.1995 SK Taman Universiti 1 mula menjalankan pengurusan dan pentadbirannya di bangunan sendiri. Sejak tarikh itu murid sekolah ini terus berkembang sehingga melebihi 2000 orang seiring dengan pembangunan pesat taman-taman perumahan sekitar taman ini.

Pada 16.01.2001 satu kebakaran berlaku menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan blok A (Ibnu Sina) yang menempatkan pejabat pengurusan sekolah pada aras satu dan bilik-bilik darjah serta surau di aras dua. Semua peralatan pejabat dan dokumen penting musnah dalam kebakaran itu. Pada peringkat awal kami menggilirkan kedatangan murid ke sekolah bagi memastikan proses P & P berjalan terus tetapi setelah mengambilkira berbagai pendapat JPNJ/PPDJB dan PIBG akhirnya diminta untuk menumpangkan sebahagian murid di sekolah baru (SKTU 4) yang baru sahaja siap dibina kira-kira 3 km dari sekolah. Di sekolah itu kami menempatkan seramai 434 orang murid dari tahun satu hingga tahun lima.

Oleh kerana proses membaikpulih bangunan yang terbakar mengambil masa lama, sekolah baru siap yang kami tumpangi itu, sepatutnya dibuka pada bulan Julai 2001 telah diarah oleh JPNJ menjalankan operasi dengan melantik Guru Besar baru di mana murid-murid dan guru-guru yang ditumpangkan itu terus diserap sebagai murid SKTU 4. Pada bulan Julai 2001, sekali lagi murid-murid sekolah ini diminta untuk berpindah mengikut lokasi tempat tinggal apabila SKTU 3 memulakan operasinya.

Kini jumlah murid SKTU 1 berjumlah 1126 orang terdiri dari murid kelas biasa, 38 orang murid Kelas Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran dan 50 orang murid Pra Sekolah. Kami mempunyai 70 orang guru,18 daripadanya adalah siswazah, tiga orang pembantu Hal Ehwal Murid, 5 orang kakitangan pejabat dan 6 orang PRA.
Banyak pengubahsuaian bilik –bilik khas dan bilik darjah dilakukan untuk menampung keperluan murid-murid pendidikan khas dan pra sekolah. Bilik-bilik yang terlibat ialah bilik kokurikulum dan bilik amalan perdagangan yang diubahsuai bagi menempatkan Kelas Pendidikan Khas dan Kelas Pemulihan, bilik Kemahiran Hidup bagi menempatkan Pra Sekolah dan mengubahsuai 2 bilik darjah untuk menempatkan bilik kemahiran hidup dan bilik j-QAF. Selain itu kami juga menyediakan sebuah dewan bagi kegunaan majlis rasmi sekolah.
Tahun 2005 kami mendapat peruntukan daripada Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Johor bagi membina sebuah surau bagi kegunaan warga kami untuk menunaikan sembahyang yang berharga kira-kira RM80 000.00. Insyallah pembinaan makmal komputer dalam RMK 9 akan dapat disiapkan pada akhir 2007 dan akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2008.Memandangkan pengurusan kewangan yang baik dan dapat memuaskan hati bahagian audit sekolah, mulai Mei 2005, kami dipilih untuk menjadi sekolah PTJ.

No comments:

Post a Comment